BAHASA MELAYU BAHASA CINTA...PERIBAHASA HARI INI> BAGAI ENAU DALAM BELUKAR ,MELEPASKAN PUCUK MASING-MASING

UPSR

Views
MODUL TARGET CEMERLANG
SET 1
SET 2
SET 3
SET 4
SET 5
SKEMA JAWAPAN

PENGESANAN TUNTAS
SET 1
SET 2
SET 3
SET 4
SET 5










Teknik Menjawab Kertas Penulisan BM UPSR



Tip UPSR: Calon perlu tenang bagi mudahkan menjawab soalan



BAGI mengelakkan rasa gemuruh dan kelam-kabut
sebelum menduduki peperiksaan, calon dinasihatkan 
datang awal ke sekolah atau dewan peperiksaan. 
Persediaan awal penting kerana untuk menduduki kertas 
Bahasa Melayu Penulisan, calon perlu benar-benar 
bersedia dan tenang bagi memudahkan mendapat idea 
bernas ketika menulis karangan.

Sebagai ulang kaji, kertas ini mengandungi tiga bahagian, 
iaitu Bahagian A membabitkan pembinaan ayat 
berdasarkan gambar, Bahagian B pula karangan, 
manakala Bahagian C berkaitan membuat ulasan. 
Ketiga-tiga bahagian ini mesti dijawab.

BAHAGIAN A 

Untuk bahagian ini, calon diberi masa selama 15 minit 
untuk menjawab dengan peruntukan 10 markah. Untuk mendapat markah penuh 
tidaklah begitu 
susah kerana 
calon perlu melakukan empat langkah, iaitu:

Langkah pertama

Calon perlu mencari kunci soalan yang terdapat dalam 
soalan. Kunci soalan dalam Bahagian A ada tiga iaitu 
"tentang", "aktiviti" atau "situasi". Kunci soalan juga
 boleh diperoleh dalam gambar. Contohnya dalam 
UPSR 2008, terdapat ayat "Cara-Cara Melintas Jalan 
Raya Dengan Selamat". Ayat tersebut boleh calon
 gunakan ketika membina ayat. Walau apapun kunci
 soalan yang diberikan dalam peperiksaan tahun ini, calon dinasihatkan agar
 memulakan ayat dengan 
subjek (watak). 
Langkah kedua
Calon hendaklah menyenaraikan semua kata kerja yang 
terdapat dalam gambar. Antara caranya ialah dengan membulatkan watak dalam
 gambar dan tuliskan kata 
kerja yang berkaitan. Cikgu cadangkan calon membuat 
lima bulatan sahaja bagi mewakili lima ayat. Senaraikan 
seberapa banyak kata kerja yang berkaitan. 
Langkah ketiga
Calon membina ayat berdasarkan kata kerja yang 
disenaraikan. Dinasihatkan calon membina ayat lebih 
daripada lapan patah perkataan dan yang paling penting, mulakan ayat dengan
subjek (watak). 
Selepas subjek, 
tulis kata kerja yang berkaitan dan akhiri ayat dengan
 maklumat (di mana, bagaimana dan mengapa).
Contoh: Beberapa orang murid (siapa) sedang melukis dan mewarna (kata kerja) 
di dalam dewan 
sekolah (di mana) kerana menyertai pertandingan melukis 
sempena Hari Kebangsaan. (mengapa) 
Jawapan contoh: 
Beberapa orang murid sedang melukis dan mewarna lukisan di dalam ketika
menyertai pertandingan
lukisan sempena Hari Kebangsaan.
Langkah keempat 
Semak ayat yang dibina, pastikan strukturnya betul. 
Binalah ayat aktif dan elakkan daripada membina ayat
 pasif. Semak ejaan agar tidak ada yang salah. 
Jangan gunakan perkataan yang calon tidak pasti ejaannya.
Kesalahan ejaan boleh menjejaskan markah. Begitu juga 
dengan kosa kata atau perbendaharaan kata yang digunakan mestilah tepat. 
Contohnya, antara "memangkas" dengan "mencantas" dan "membelah" 
dengan "mengerat". Penggunaannya mengikut konteks ayat. 
Jaga-jaga dengan imbuhan yang digunakan kerana kesalahan boleh membawa
maksud yang berbeza. 
Contohnya, "Ayah menjual ikan" dengan "Ayah penjual ikan". 
Kedua-dua ayat ini membawa maksud berbeza disebabkan penggunaan imbuhan. 
Akhir sekali, calon mesti berhati-hati dengan tanda baca. Pastikan ayat yang 
dibina bermula dengan huruf besar. 
Setiap ayat yang dibina mestilah mempunyai noktah. 
Jika calon menggunakan nama orang, pastikan perkataan 
awal huruf besar kerana nama orang adalah nama khas. 
Gabungkan beberapa kata kerja yang disenaraikan dalam satu ayat. 
Contohnya, ayat di atas terdapat tiga kata kerja
iaitu menyertai, melukis dan mewarna. Selain itu, calon 
tidak perlu mengulang kata kerja yang sama pada orang
yang sama untuk ayat seterusnya. 
Ini dikatakan sebagai pengulangan ayat. 
Seterusnya, pastikan calon membina lima ayat sahaja.
Jika ruangan jawapan yang disediakan tidak cukup, 
mintalah kertas jawapan tambahan daripada pengawas peperiksaan. 
Jika tulisan kecil, 
calon dinasihatkan agar 
selang satu baris antara ayat yang dibina agar lebih kemas dan teratur. 
BAHAGIAN B 
Untuk menjawab soalan bahagian ini, calon perlu banyak membaca bagi 
menghasilkan karangan yang baik.
Masa yang diperuntukkan untuk menjawab bahagian ini 
ialah 40 minit. Petua untuk Bahagian B, calon mesti menggunakan FMK
 (Formula Menulis Karangan), iaitu
 kaedah menulis karangan berdasarkan perenggan 233332.
Setiap karangan mempunyai enam perenggan. 233332 bermaksud 
perenggan pertama dan keenam mempunyai dua ayat,
manakala perenggan kedua hingga kelima, masing-masing tiga ayat. 
Calon dinasihatkan agar selang satu baris antara perenggan
yang dibuat agar karangan dihasilkan kelihatan lebih kemas. 
Untuk menghasilkan karangan yang baik, calon haruslah melakukan empat langkah.
Langkah pertama - Pilih soalan
Calon mesti membaca semua soalan terlebih dahulu 
sebelum memilih soalan yang hendak dijawab. Pilih soalan 
yang banyak isi berdasarkan pengalaman calon agar mudah untuk menulis karangan. 
Ini kerana ada juga karangan yang senang tajuknya tetapi calon sukar 
mencari isinya. Calon juga perlu mencari kunci soalan, kehendak soalan,
format dan jenis karangan. Contohnya: Pada suatu petang, 
anda bersiar-siar dengan seorang rakan di tepi pantai. 
Tiba-tiba anda terdengar jeritan orang meminta tolong.
Ceritakan tindakan anda dan kawan anda ketika itu. Kunci soalan ini ialah
 "Ceritakan tindakan". 
Kehendak soalan ialah "menceritakan tindakan selepas mendengar jeritan",
manakala format dan jenis karangan ialah cerita dan
karangan tidak berformat. Langkah dicadangkan ini boleh membantu calon
mengelakkan daripada menulis karangan terpesong.
Langkah kedua - Merangka karangan
Gunakan kaedah merangka karangan yang telah dipelajari
sama ada "Peta Minda", "Melakar Isi" atau "Teknik Penyoalan".
Langkah ketiga - Menulis karangan
Pastikan ada enam perenggan. Pastikan juga tidak tersilap menulis perenggan 
pendahuluan kerana ada calon yang masukkan isi dalam perenggan pengenalan itu.
 Contohnya: 
1. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. 
Antaranya ialah kita dapat menambahkan ilmu pengetahuan.
2. Melancong ialah aktiviti yang mempunyai banyak faedah kepada kita semua. 
Kita boleh melancong di dalam atau luar negara.
Jawapan yang tepat sebagai pendahuluan adalah jawapan 2. Untuk karangan fakta, 
calon boleh menulis karangan dengan menggunakan kaedah ICK iaitu isi, 
contoh dan kesan atau IKC (isi, kesan dan contoh).
Untuk perenggan penutup, calon boleh gunakan pelbagai jenis penutup 
seperti dalam bentuk rumusan,nilai, pantun, penegasan, peribahasa, 
kata hikmah dan pendirian.
Langkah keempat - Semak karangan
Pastikan struktur ayat, ejaan, imbuhan dan tanda baca yang
digunakan betul sebelum beralih untuk menjawab Bahagian C. 
BAHAGIAN C
Bahagian C memperuntukkan markah sebanyak 20 dan
 masanya 20 minit sahaja. Oleh itu, calon mesti bijak menggunakan masa 
untuk menjawab soalan bahagian ini. 
Konsep Bahagian C ialah mengecam nilai murni atau 
pengajaran yang terdapat dalam petikan diberikan. 
Lantaran itu, calon mesti mengecam, mencari, 
mengenal dan mendapatkan nilai murni atau pengajaran 
yang terkandung dalam petikan itu. 
Calon juga mesti tahu membezakan antara perbuatan 
dengan nilai murni atau pengajaran.
Contohnya: Abang mengucapkan terima kasih kepada adik kerana 
mengeluarkan barang-barang dari dalam bilik itu. 
Pengajaran bagi ayat ini ialah "menghargai", manakala 
perbuatan yang menunjukkan adanya pengajaran ialah "
Abang mengucapkan terima kasih". 
Membezakan antara perbuatan dengan pengajaran penting 
agar calon tidak tersilap mengulas pengajaran yang 
sepatutnya. Untuk menghasilkan jawapan yang baik, 
empat langkah dicadangkan iaitu:
Langkah pertama
Baca petikan sekali lalu untuk memahami kandungannya. 
Kemudian, baca sekali lagi dan gariskan 
perkataan yang menunjukkan terdapatnya nilai murni atau pengajaran. 
Contohnya: Zaidi selalu 
mengulang kaji pelajaran pada 
waktu malam. Perkataan yang menunjukkan ada 
pengajaran ialah "mengulang kaji". Walaupun perlu 
mengulas lima pengajaran sahaja, calon dinasihatkan agar mencari 
seberapa banyak pengajaran yang ada dalam petikan.
Langkah kedua
Calon perlu memilih lima pengajaran yang ingin diulas dan binalah rangka ulasan. 
Contohnya:
a) Pengajaran - Rajin 
b) Perbuatan - mengulang kaji pelajaran 
c) Mengapa - lulus periksa 
Langkah ketiga
Membina ulasan lengkap, contohnya: Kita mestilah rajin 
dengan mengulang kaji pelajaran agar lulus dalam
 peperiksaan. Ulasan mesti ditulis dalam satu perenggan. 
Oleh itu, gunakan penanda wacana agar ayat yang dibina 
lebih menarik.
Langkah keempat
Semak ulasan yang telah ditulis. Pastikan struktur ayat, ejaan,
imbuhan dan tanda baca yang digunakan betul.
Oleh sebab masa diberikan untuk menjawab ketiga-tiga 
bahagian dalam kertas ini agak singkat, iaitu 1 jam 15 minit, 
calon perlu bijak menguruskannya. 
Masa yang dicadangkan untuk Bahagian A
ialah tiga minit untuk memahami gambar, 
lima minit tulis ayat dan dua minit untuk menyemak. 
Untuk Bahagian B (10 minit faham soalan dan bina rangka 
karangan, 25 minit hasilkan karangan lengkap dan lima
minit lagi untuk semakan). 
Untuk Bahagian C (lima minit cari dan senaraikan
nilai murni atau pengajaran, 10 minit tulis ulasan 
lengkap dan lima minit lagi menyemak). Lima minit 
terakhir, gunakan untuk semak semua jawapan 
Bahagian A, B dan C.


Bahasa Melayu Pemahaman
BAGI membantu calon mendapat markah maksimum, 
beberapa petua diberikan bagi menjawab soalan kertas ini dengan baik. 
Seperti yang diketahui,
kertas 1 mempunyai dua bahagian iaitu tatabahasa dan pemahaman. 
Kedua-dua bahagian ini mempunyai teknik menjawab yang berbeza.

1.1 Tatabahasa

Pastikan anda sudah menguasai kesemua bahagian
 tatabahasa. Ini penting kerana kesemua pilihan jawapan 
yang diberikan perlu difahami terlebih dahulu sebelum anda menjawab
soalan.Di bawah ini merupakan
beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh calon sewaktu hendak 
menjawab soalan bahagian tatabahasa.

1.1.1 Faham

Calon perlulah memahami kesemua pilihan jawapan yang disediakan. 
Kesalahan memilih jawapan berlaku kerana calon tidak memahami 
pilihan jawapan yang diberikan. Calon hanya cuba mengagak maksud
jawapan berkenaan. Kebiasaannya akan wujud satu atau dua
pengganggu jawapan yang paling dekat dengan jawapan yang tepat. Oleh itu,
calon perlu benar-benar memahami pilihan jawapan yang disediakan. 
Catatlah secara ringkas 
maksud pilihan jawapan berkenaan. Contoh:

A memberi menyampaikan sesuatu
B mengirim menghantar menerusi sesuatu
C membalas menjawab surat
D menerima mendapat sesuatu
1.1.2 Baca
Bacalah ayat yang disediakan. Fahami betul-betul ayat
 tersebut dan kesesuaiannya dengan pilihan jawapan. 
Kadang-kadang ada pilihan jawapan yang seolah-olah
 boleh dipilih sebagai jawapan. Pilihan jawapan yang 
sebeginilah yang biasanya menjadi perangkap utama.
Contoh:
Ayah ._____ sepucuk telegram dari kampung.
1.1.3 Kesan
Anda perlu mengesan klu yang terdapat dalam ayat atau 
gambar. Bulat atau gariskan klu berkenaan. Ini penting
 kerana klu inilah yang akan membantu dan memudahkan 
anda memilih jawapan yang tepat.
(Bulatkan perkataan ‘dari’ sebagai klu jawapan yang menunjukkan ayah menerima)
Ayah _____ sepucuk telegram dari kampung.
1.1.4 Pilih
Peringkat ini adalah peringkat paling penting. 
Pilihlah jawapan yang paling tepat dan mengikut kehendak soalan.
 Pengganggu yang diberikan sudah pasti akan mengelirukan adik-adik. 
Oleh itu, fahamilah betul-betul kesesuaian ayat dengan pilihan jawapan.


Ayah _____ sepucuk telegram dari kampung.
A memberi menyampaikan sesuatu
B mengirim menghantar menerusi sesuatu
 <-- Pengganggu yang hampir tepat
C membalas menjawab surat

D menerima mendapat sesuatu <-- Jawapan yang paling tepat

Calon-calon, pastikan:

* 1 soalan hanya ada 1 - 1 1/2 minit sahaja.

* Jangan membuang masa dengan cuba menjawab
 soalan yang susah.

* Jawab soalan Bahagian Tatabahasa 
(Soalan 1 hingga Soalan 30) terlebih dahulu.

* Peruntukan masa antara 15 hingga 20 minit untuk
 Bahagian Tatabahasa.

* Jawab soalan yang lebih mudah dahulu.
* Segera jawab soalan Bahagian Petikan.
* Peruntukan masa 10 minit untuk setiap petikan.
* Baki masa untuk tujuan menyemak semula jawapan.
1.2 Pemahaman
Calon-calon hanya perlu menjawab 10 soalan sahaja dalam
bahagian pemahaman.Namun begitu setiap soalan amat berkait rapat
dengan petikan yang disediakan. Untuk menjawab soalan pemahaman, 
calon perlulah memperbanyakkan latihan menjawab kerana bahagian ini
memerlukan kemahiran yang tinggi dalam hal memahami petikan.
Antara langkah-langkah yang perlu dilakukan sewaktu hendak menjawab
soalan petikan ialah:
1.2.1 Baca dan faham
Calon-calon perlu membaca petikan dan memahaminya 
terlebih dahulu. Selepas itu, barulah membaca soalan dan memahami 
pilihan jawapan yang disediakan. 
Jangan sesekali menjawab soalan tanpa membaca petikan terlebih dahulu.
1.2.2 Cari pembayang jawapan
Kebiasaannya klu atau pembayang jawapan berada dalam petikan. 
Calon perlu menggariskan klu tersebut. 
Pastikan klu berkenaan berkait rapat dengan soalan.
…Lawatan tersebut diadakan adalah bertujuan untuk mendedahkan kepada
 murid-murid proses membuat kerepek di kilang.
1.2.3 Penyesuaian
Sesuaikan pembayang yang anda garis dengan 
pilihan jawapan yang diberikan. Teliti dan fahami 
betul-betul sebelum memilih jawapan.
Apakah tujuan utama program lawatan diadakan? (soalan)
… bertujuan untuk mendedahkan kepada murid-murid 
proses membuat kerepek... (pembayang jawapan)
1.2.4 Memilih
Jika calon sudah jumpa pilihan jawapan yang sesuai dengan pembayang 
yang digaris, pilihlah jawapan tersebut mengikut kehendak soalan.
Jangan sesekali memilih pilihan jawapan yang tidak ada pembayangnya 
dalam petikan.
Berdasarkan catatan di atas, apakah tujuan utama program lawatan diadakan?
A Menyedarkan murid-murid betapa susahnya 
mencari rezeki.
B Meraikan sambutan dan hari terbuka yang diadakan
 oleh pihak kilang.
C Menggalakkan murid-murid agar menyertai 
industri membuat kerepek.
D Menambahkan pengetahuan murid berkenaan proses membuat kerepek.
Langkah-langkah diatas perlu dilakukan dengan penuh teliti. Namun begitu,
beberapa kelemahan perlulah diatasi agar calon-calon tidak melakukan kesilapan.
Antara kelemahan-kelemahan tersebut ialah:
* Tidak membaca arahan untuk setiap soalan.
* Menjawab soalan dengan tergesa-gesa.
* Kurang memberi tumpuan kepada kata kunci pada setiap soalan.
* Membuang masa dengan soalan yang susah.
* Keliru dengan pengganggu yang hampir sama ejaannya
 atau maknanya.
* Tersalah menanda jawapan yang sepatutnya pada kertas jawapan.
* Menghabiskan masa terlalu lama membaca petikan.
* Tidak memadam jawapan yang salah dengan bersih pada
 kertas OMR.
Ingat!
Kira jumlah tanda hitam adalah cukup 40. Jika kurang,
ini bermakna ada soalan yang belum berjawab, 
tetapi jika lebih, mungkin ada soalan yang ditanda dengan dua jawapan. 
Selamat menghadapi UPSR 2012. Semoga berjaya!


...Berilmu Beriman Beramal...
hr/ >